Semalam 29 November 2018, seorang sahabat kembali ke tempat abadi...
Nor'azah Bt Othman, berasal dari Felda Ulu Tebrau, Johor.
Saya mula mengenali beliau pada tahun 1991 semasa saya berkhidmat dengan sebuah firma perunding kejuruteraan. Pada masa itu, beliau memegang jawatan setiausaha (secretary) kepada Pengurus Projek expat. Saya banyak membantunya dalam mengarang surat dalam Bahasa Inggeris dan beliau pula banyak memberi tunjuk ajar kepada saya cara-cara mengguna word processing software. Zaman itu belum ada Microsoft Word for Windows lagi. Guna DOS software yang bernama Wordstar.
Bila dia berkahwin, saya dapat tahu yang suaminya junior saya semasa di sekolah menengah. Small world.
Setelah berkhidmat di firma perunding, kami sama-sama menyertai syarikat baru yang memegang konsesi perkhidmatan rawatan air. Kira kami ni pioneer staff.
Setelah beberapa tahun di syarikat tersebut, saya berhijrah ke tempat lain sementara Azah kekal bertugas di situ. Agak lama juga saya tidak berhubung dengan beliau sehingga Allah swt mentakdirkan kami bertemu semula pada tahun 2012 di satu majlis jamuan hari raya Aidilfitri.
Pada awal bulan Oktober yang lepas, saya menerima khabar yang beliau berada di wad Hospital Sultanah Aminah kerana rawatan kanser. Saya meluangkan masa untuk ziarah beliau. Semasa saya mula sampai di wad, saya lihat beliau di kelilingi sanak saudara. Jadi saya berdiri dan melihat dari jauh. Setelah beberapa minit berdiri dengan senyap, Azah ternampak saya dan tersenyum. Beliau meminta saya rapat ke katil sambil memperkenalkan saya kepada sanak saudaranya. Ini boss lama saya, ujar beliau.
Aduh... di saat begini masih mengingati saya sebagai boss.
Sanak saudara beliau memberi ruang kepada saya untuk duduk rapat tepi katil. Saya dan Azah rancak bersembang kisah-kisah lama sewaktu kami bertugas di tempat yang sama. Kenangan pahit, manis dan tawar.... semuanya ada. Dapatlah dia senyum dan gelak kecil buat seketika.
Semasa saya ucapkan selamat tinggal padanya, memang berat di hati saya bahawa besar kemungkinan saya tidak akan dapat berjumpanya lagi.
Awal pagi semalam, suami beliau menyampaikan berita sedih yang Azah telah menghembus nafas akhir di waktu hampir subuh di rumahnya di Felda Ulu Tebrau. Jenazah telah selamat dikebumi sekitar jam 11 pagi.
Saya sampai di Ulu Tebrau lewat sedikit, iaitu setelah urusan pengkebumian selesai. Jadi dapatlah saya duduk bersama suaminya untuk berbual dan berkongsi cerita tentang seorang insan yang sangat baik hati.
Nor'azah telah bertarung dengan penyakit kanser selama tiga tahun. Serangan pertama ialah pada bahagian usus. Dapat dikawal dengan rawatan chemo dan stabil untuk beberapa bulan. Serangan seterusnya lebih mengganas... kanser telah merebak ke hati, rahim dan tulang.
Innalillahi wainna ilaihirojiun...
Gambar di bawah ketika saya berjumpa beliau pada tahun 2012. Azah di sebelah kanan dan sahabat lama kami, Hanim di sebelah kiri.