Saya sebenarnya tidak ada apa sangat hendak diceritakan dalam blog ini. Cuma bila sudah beberapa hari tidak membuat entri baru, terasa ketinggalan pula. Jadi, mahu tak mahu, saya ceritakanlah juga tentang pengalaman berbuka puasa kami sekeluarga beberapa hari yang lepas... walaupun saya tahu cerita pasal berbuka ni dah terlalu biasa dan tidak menarik lagi untuk dibaca.
Namun begitu, untuk mengujudkan sedikit perbezaan dari norma penulisan saya sebelum ini, catatan blog kali ini ditulis dalam Bahasa Melayu. Saya pinjam ide dari kawan baik
Versedanggerik.
Shah Alam : Khamis 3hb Sep 2009
Saya mengambil cuti pada hari tersebut kerana hendak ke KLIA bagi menjemput anak sulung kami yang pulang bercuti selama tiga minggu. Sudah dua tahun Along belajar di Timur Tengah. Tahun lepas dia balik juga, cuma terpaksa balik ke sana sebelum Hari Raya. Tahun ini dapatlah dia beraya bersama kami.
Terlanjur kami berada di Kuala Lumpur, kami singgah di Shah Alam untuk mengajak anak kedua kami yang belajar di UiTM untuk berbuka puasa bersama. Buat pertama kali tahun ini, kehadiran ahli berbuka puasa kami sekeluarga cukup sepenuhnya. Kesempatan juga diambil untuk mengajak seorang anak saudara bernama Farhana yang baru masuk Management & Science University di Shah Alam untuk turut serta.

Sebagai menjamu Angah yang selama in berbuka di kafeteria asramanya, saya cuba mencari kedai makan yang menyelerakan. Saya sebenarnya tidak berapa tahu sangat tentang kedai-kedai makan yang sedap di Shah Alam tetapi saya pernah mendengar bahawa ada banyak restoran di kawasan Seksyen 13. Pada mulanya, saya hendak cuba makan di Fiescanto Cafe (pemilik cafe ini pernah menghantar saya emel tentang masakan kacang pol) tetapi kedainya tutup pula. Kami meninjau beberapa restoran lain dan akhirnya membuat keputusan untuk berbuka di sebuah restoran makanan laut bernama Shuhaida Seafood Restaurant.

Restoran ini agak besar juga dan mempunyai hiasan dalaman yang kemas dan selesa. Juadah berbuka kami terdiri dari set menu tujuh jenis hidangan yang dimasak ala `Chinese-style'. Semua lauknya siap dihidang beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka. Dalam keadaan perut yang lapar, sudah tentunya apa yang dihidangkan nampak enak belaka. Namun begitu, setelah merasa semua masakan tersebut, yang boleh saya puji hanya masakan ikan sahaja. Rasa lauk yang lain agak biasa... orang putih kata `average only'.
Along dan Adik
Farhana dan Angah
Setelah berbuka, saya menghantar Angah dan Farhana balik ke kampus masing-masing. Kami kemudian bertolak balik ke Johor Bahru malam itu juga.
Singapura : Sabtu dan Ahad 5hb - 6hb Sep 2009
Pada hujung minggu yang lalu, kami sekeluarga telah ke rumah orangtua saya di Singapura. Sebenarnya, adik bongsu saya menjemput kami berbuka di rumahnya pada petang Sabtu. Lagipun, saja nak bawa Along berjumpa dengan Atok dan Nenek dia.
Adik saya memasak mee bandung untuk juadah buka. Sedap juga rasanya sehingga terlupa saya untuk mengambil foto.
Keesokan harinya, sebagaimana biasa, kami mengambil peluang untuk ke Mustafa Centre untuk menghabiskan stok simpanan dolar Singapura kami. Adalah berbelanja sedikit... tak habis pun duit Singapore kami itu. Dan juga sebagaimana biasa, selepas membeli belah di Mustafa Centre, kami menuju pula ke Beach Road untuk membeli sup tulang merah yang dibungkus untuk di bawa balik. Sepuluh sing dolar untuk sepuluh ketul... lebih murah dari yang dijual di JB.
Sup tulang merah Beach Road
Petang itu, emak saya memasak mee siam kuah, antara masakan kegemaran saya (sebenarnya, tiada masakan emak kita yang kita tidak gemar, kan?). Dicampur dengan bubur lambuk masjid dan sup tulang merah tadi, maka penuhlah meja dapur emak saya dengan juadah berbuka puasa.

Oleh kerana masalah kolesterol, saya cuma ambil dua ketul tulang kambing. Anak bongsu saya tukang bereskan yang lain.
Sekian, cerita saya yang tidak seberapa ini. Saya rasa lepas ni saya tak tulis tentang buka puasa dah. Kita tunggu cerita hari raya pula...