Entri kali ini takde kena mengena dengan pingat atau darjah kebesaran yang diberi oleh kerajaan ataupun raja-raja Melayu, tak kiralah samada pingat itu dianugerah ataupun dibeli. Pangkat yang saya maksudkan ialah panggilan atau gelaran yang digunakan oleh orang-orang Melayu untuk ahli keluarga dan sanak saudara mereka.
Kalau anda perhatikan dalam posting-posting saya sebelum ini, saya menggelar tiga orang anak lelaki saya sebagai Along, Angah dan Adik. Bagi pembaca-pembaca Melayu, gelaran-gelaran itu boleh difahami dengan jelas dan tidak perlu diterangkan. Namun begitu, terlintas di fikiran saya bahawa mungkin ada pembaca blog yang bukan Melayu yang tertanya-tanya mengapa gelaran tersebut digunakan. Jadi, apabila tergerak hati untuk menulis sedikit tentang topik ini, saya cuba selidik pula tentang gelaran ataupun nama timang-timangan lain yang biasa kita dengar.
Tidak semua keluarga Melayu mengamalkan panggilan timang-timangan ini dan sudah tentunya terdapat variasi maksud sesuatu gelaran itu mengikut negeri, daerah mahupun suku kaum rumpun Melayu. Sebagai contoh, di kalangan adik beradik saya, ayah dan ibu kami tidak memanggil kami dengan nama timang-timangan. Berlainan pula dengan keluarga sebelah isteri yang mana beberapa ahli dipanggil dengan nama gelaran.
Pada dasarnya, nama timang-timangan yang diberi kepada seseorang itu adalah mengikut turutan kelahirannya.
Along adalah gelaran yang diberi kepada anak pertama atau anak sulong. Apabila Along menjadi dewasa dan mempunyai anak-anak saudara, maka gelarannya akan menjadi Pak Long (lelaki) ataupun Mak Long (wanita). Di sebelah keluarga saya, anak-anak saudara saya memanggil saya Pak Long. Secara automatik, isteri saya bergelar Mak Long. Sebaliknya isteri saya adalah anak kelapan dari tigabelas beradik, jadi gelaran Pak Long/Mak Long adalah hakmilik orang lain. Sebenarnya, anak-anak saudara sebelah isteri menggunakan gelaran moden untuk saya, iaitu `Uncle'. Hmmm... pelik juga.
Angah adalah gelaran untuk anak kedua. Asal-usul gelaran ini ialah perkataan `tengah'. Tapi, kalau kita fikirkan dengan lebih mendalam, mungkin boleh timbul sedikit kekeliruan. Ya lah... kalau anak cuma tiga orang, yang kedua tu bolehlah dianggap tengah. Tapi kalau anak dah ramai, kedudukan nombor dua kan bukan di tengah lagi. Apa-apapun, begitulah definasi gelaran Angah. Gelaran-gelaran yang berkaitan adalah Abang Ngah/Kak Ngah, Pak Ngah/Mak Ngah mahupun Tok Ngah/Nek Ngah.
Bagi pangkat adik-adik yang berikutnya, terdapat beberapa perbezaan amalan, bergantung kepada negeri ataupun keluarga masing-masing. Di sesetengah tempat, anak ketiga digelar
Alang. Tapi saya pernah juga mendengar gelaran-gelaran lain iaitu
Achik ataupun
Uda.
Bagi anak yang keempat pula, gelaran yang biasa dipakai ialah
Utih (atau juga dieja sebagai Uteh). Besar kemungkinan gelaran ini adalah singkatan dari perkataan `putih'. Menurut Kamus Dewan, orang Perak menggunakan nama timang-timangan ini untuk anak yang keenam. Hmm... nak kena confirm dengan kawan-kawan saya dari Perak, samada betul ke tidak ni.
Lawan bagi perkataan `putih' ialah `hitam'.
Itam pula adalah panggilan mesra untuk anak yang ketujuh (di Negeri Sembilan, anak yang kelapan). Alahai... kenapalah dipanggil budak itu Itam, kesian dia. Maka apabila dewasa kelak, jadilah dia Pak Itam atau Mak Itam. Untuk glamer sikit, dipendekkan jadi Pak Tam/Mak Tam sahaja.
Terdapat beberapa panggilan lain yang biasa saya dengar tetapi posisinya dalam turutan adik-beradik tidak berapa jelas. Gelaran-gelaran itu ialah
Andak dan
Anjang. Sekiranya anda tahu hakmilik anak keberapa gelaran ini, harap dapat dikongsikan pengalaman anda.
Yang pastinya, anak yang bongsu akan mendapat gelaran
Busu atau lebih manja dipanggil
Ucu. Panggilan Ucu ini hanya boleh digunakan oleh anak-anak saudara kepada bapa atau emak saudara mereka yang paling muda. Saya tak boleh nak panggil anak bongsu saya Ucu, sebab manalah tahu ada rezeki dapat tambah anak lagi... ehem, ehem :-)