Setelah beberapa tahun bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah di bandaraya, saya akhirnya dapat bertukar ke sekolah yang tidak jauh dari kampung saya. Memang sudah lama saya berhasrat untuk berpindah balik ke kampung. Anak-anak saya semuanya sudah dewasa dan mempunyai kerjaya mereka sendiri. Suasana aman dan tenteram di kampung sangat saya rindui. Lebih-lebih lagi saya masih ada ibu tua yang tinggal keseorangan, jadi memang eloklah saya mohon pertukaran tempat bertugas itu.
Sebelum berpindah, saya sempat membina sebuah rumah baru di atas sebidang tanah yang tidak jauh dari rumah ibu saya. Tanah tersebut asalnya sebuah dusun kecil dan sebahagiannya ditumbuhi hutan belukar. Banyak juga wang yang saya perlu modalkan untuk membersihkan tapak tanah itu jadi saya buat yang mana perlu sahaja dulu. Antara yang tidak ditebang ialah sebatang pokok tembusu yang tumbuh hampir dengan sempadan tanah. Pohon tembusu itu tersangatlah besar. Tingginya saya anggar melebihi 30 meter dan mungkin berumur beratus tahun. Memang memakan masa hendak menebangnya. Lagipun kedudukannya tidak menghalang pembinaan rumah, jadi kami buat keputusan untuk membiarkannya dahulu.
Beberapa bulan pertama saya duduk di rumah baru itu dengan gembiranya. Jiran-jiran sekeliling kebanyakan adalah saudara mara saya juga. Sekolah tempat saya mengajar tidak jauh dari rumah. Tidaklah lagi perlu saya mengharungi trafik jem setiap hari pergi bertugas.
Atas permintaan beberapa orang saudara mara, saya bersetuju untuk mengajar tuisyen kepada anak-anak mereka, kiranya anak-anak buah saya juga lah. Kelas tuisyen dibuat di rumah saya dan bermula pada 8.30 malam. Anak-anak murid kelas tuisyen ini seramai 6 orang, 4 lelaki dan 2 perempuan.
Semasa mula-mula mengajar mereka memang
problematic sikit. Jelas sekali pendedahan sistem pembelajaran kanak-kanak di desa jauh berbeza dengan kanak-kanak bandar. Tambahan pula, yang budak-budak lelaki empat orang itu nakal-nakal belaka. Tetapi disebabkan semangat hendak menolong saudara, saya teruskan usaha untuk mendidik mereka.
Setiap malam bila tiba waktu kelas tuisyen bermula, saya boleh tahu ketibaan kumpulan murid ini dengan bunyi riuh rendah mereka bila sampai di hadapan pintu pagar rumah. Bunyi kelentang-kelentung gate dibuka disusuli dengan sorak ketawa budak-budak berlari dari pintu pagar itu yang jaraknya lebih kurang 20 meter dari rumah. Suara ketawa biasanya dari budak-budak lelaki sahaja. Yang perempuan bunyi marah atau geram. Setiap kali sampai di rumah mesti semuanya termengah-mengah.
Saya pun bertanya, mengapa mesti berlari.
Salah seorang dari yang perempuan menjawab, `Diaorang ni Cikgu (sambil menunjuk ke arah budak-budak lelaki), suka nyakat kami! Diaorang kata ada hantu tinggal kat atas pokok besar tu. Siapa yang last sampai kat rumah Cikgu nanti kena cekup. Tu yang kami lari laju-laju!’ Pokok yang dimaksudkan itu ialah pohon tembusu besar yang terletak betul-betul sebelah pagar pintu masuk.
`Hish, mana ada!,’ saya berkata. Sambil menoleh ke arah seorang budak lelaki yang saya anggap sebagai kepala, saya cakap, `Abu! Tak elok kamu takutkan kawan-kawan kamu. Jangan buat macam ni lagi.’ Abu hanya menunjukkan muka selamba. Yang budak-budak lelaki lain tersengih-sengih.
Marahlah macam mana pun, perkara yang sama tetap berlaku. Maka kelas tuisyen saya setiap kali dimulakan dengan senaman larian dari pintu pagar hingga ke rumah.
Sehinggalah satu hari beberapa minggu kemudian…
Murid-murid saya sampai ke rumah malam itu dengan keadaan tertib dan senyap. Saya teramat pelik. Tiada bunyi riuh dan berlari-lari sebagaimana biasa. Pada mulanya saya tidak bertanya apa-apa. Semasa mengajar pun kesemuanya senyap dan menumpukan perhatian terhadap apa yang saya ajar. Abu, yang selalu paling bising dalam kelas, pun kelihatan begitu tekun.
Tidak boleh menahan kehairanan saya lagi, saya pun bertanya, `Eh Abu, kenapa kamu senyap je malam ni? Selalunya tak habis-habis menyakat orang…’
`Heheh… takde apa-apa Cikgu,’ jawab Abu. Dia terus menunduk untuk menyiapkan latihan yang telah saya beri.
Saya pun duduk sebelah murid perempuan bernama Atikah dan bertanya, `Kenapa semua orang diam dan rajin je hari ni?’
Atikah merenung ke muka saya dengan keadaan serba salah. Setelah beberapa ketika, dia berbisik kepada saya.
`Cikgu… tadi ada orang dah marah kat kami. Suruh belajar rajin-rajin dan jangan main-main.’
`Orang mana?’ saya bertanya.
`Orang yang tinggal kat pokok besar tu,’ jawab Atikah.
`Orang tu rupanya macam mana?’ saya bertanya lagi.
Wajah Atikah berubah jadi keliru. `Tu Cikgu, dia duduk kat belakang Abu tu. Dia ikut kami dari depan gate tadi. Cikgu tak nampak ke?’
Giliran saya pula untuk menjadi cemas. Memang saya tidak nampak sesiapa di belakang Abu. Saya berbisik kembali, `Dia masih kat situ?’
`Ada, Cikgu…’
Saya pun membuat keputusan untuk menamatkan sesi pembelajaran malam itu dan memberitahu anak-anak murid saya, `Err… malam ni kelas tuisyen kita tamat cepat sikit. Cikgu pun rasanya nak tidur kat rumah sepupu Cikgu kat sebelah tu. Kamu semua jangan balik dulu ye. Temankan Cikgu sampai sana…’
Nota kaki : Cerita di atas adalah berdasarkan kisah benar... cuma identiti watak-watak telah diubah untuk memelihara yang berkenaan.