Saya tidak ingat bagaimana saya mula dapat tahu tentang Baitus Solehah, sebuah pertubuhan kebajikan yang menyediakan rumah perlindungan untuk remaja perempuan Islam yang terlanjur atau mengandung tanpa nikah. Yang pastinya ialah melalui laman media sosial Facebook. Besar kemungkinan maklumat tentang Baitus Solehah dipaparkan pada `feed' saya bila ada salah seorang sahabat FB memberi klik `like' di `page' rumah kebajikan tersebut.
Saya mula membaca kisah-kisah tentang begitu ramai remaja perempuan Islam yang terlanjur, samada atas desakan nafsu sendiri atau terpedaya atau dianiaya. Apabila kandungan telah bernyawa, maka timbullah rasa menyesal, takut, kusut dan malu. Dan apabila bentuk badan yang berkembang tidak boleh lagi disembunyikan, maka terbocorlah rahsia dan berdepanlah dengan kemarahan dari ibubapa.
Masalah sosial ini sangat serius dan memang sudah lama berlaku. Tidak perlu kita berselindung atau berpura-pura ianya satu perkara kecil. Ada remaja yang mengandung luar nikah yang umur semuda tigabelas tahun. Ada yang mengandung luar nikah berkali-kali. Ada remaja yang tidak tahu apa itu mandi wajib. Ada juga remaja terlanjur dari kalangan pelajar universiti. Ada yang telah di `grooming' dari kecil oleh lelaki tua yang hanya berniat untuk ambil kesempatan.
Baitus Solehah telah diwujudkan dengan objektif untuk membantu remaja-remaja sebegini dengan menyediakan tempat perlindungan sementara untuk hadapi krisis serta memberi didikan dan tarbiyah dengan harapan remaja-remaja ini dapat insaf dan bertaubat. Mereka juga diberi latihan dan tunjuk ajar tentang cara penjagaan bayi dan kesihatan diri. Tempoh latihan di Baitus Solehah adalah selama enam bulan. Tiada bayaran dikenakan. Perbelanjaan untuk pelatih (makan/minum, tempat tinggal, kos rawatan hospital, keperluan bayi) ditanggung sepenuhnya oleh Baitus Solehah. Selamatkan dua jiwa.
Berbagai cerita dan coretan ditulis oleh Pengurus Baitus Solehah, yang membahasakan diri beliau sebagai Mak Liza. Tagline beliau juga cukup menarik... opah cucu seribu.
Ada cerita tentang pelatih yang datang bukan rela tetapi dipaksa oleh ibubapa. Ada cerita tentang pelatih yang begitu liat menerima ajaran agama. Ada cerita tentang pelatih yang lari tinggalkan asrama setelah selamat melahirkan kandungan. Ada cerita tentang ibu muda yang tinggalkan bayi dan hilang tanpa khabar berita. Ada cerita tentang waris yang membawa keluar anak perempuan mereka sebelum tamat tempoh latihan, di mana Baitus Solehah hanya digunakan sebagai tempat menyembunyikan anak mereka yang bukan lagi dara dari mata jiran tetangga. Ada cerita tentang datuk/nenek yang tidak mahu terima kelahiran cucu luar nikah mereka (nota : tiada urusan pemberian anak angkat di Baitus Solehah). Ada cerita tentang waris yang setelah anak mereka selamat bersalin, memberi gambaran buruk tentang Baitus Solehah, kononnya anak mereka hidup dalam keadaan terdera.
Namun tiada seorang pun dibuka aibnya oleh Mak Liza kerana tiada nama individu dikaitkan dengan kisah-kisah tersebut. Kisah-kisah itu disiarkan sebagai iktibar dan makluman umum tentang cabaran yang dihadapi dalam menjalankan kerja amal dan sukarela. Dalam dunia ini, alhamdulillah terdapat ramai orang yang baik-baik dan suka membantu. Tetapi tidak kurang juga manusia yang tidak bersyukur dan berterima kasih atas usaha kebaikan orang lain. Allah swt telah tetapkan sebegitu.
Di sebalik cerita-cerita tentang cabaran dan kerumitan yang dihadapi, terdapat juga kisah-kisah kejayaan yang memberi semangat untuk terus meneruskan kerja amal ini. Kisah tentang remaja wanita yang dilamar oleh lelaki budiman untuk dijadikan isteri walaupun maklum tentang sejarah wanita tersebut. Kisah tentang remaja yang dahulunya sesat tetapi kini sudah bahagia hidup berumahtangga. Remaja yang kini punya kerjaya tetap setelah semangat untuk berdikari disuburkan kembali. Remaja yang sudah berhijrah tetapi mengambil masa untuk datang ziarah semula ke Baitus Solehah bagi mengenang jasa keluarga angkat yang membimbing mereka ketika suasana kemelut.
Saya sangat suka baca coretan-coretan Mak Liza. Straightforward, direct and with empathy. Tidak tahu saya bagaimana hendak terjemah ayat ini ke Bahasa Melayu dengan tepat. Ada masanya tulisan beliau agak pedas dan menyengat. Saya sokong tulisan sebegitu kerana ianya kena pada tempat... memang sesetengah pembaca perlu merasa pedas sebab mereka sudah termakan lada.
Semasa mula-mula dapat tahu tentang Baitus Solehah beberapa tahun yang lalu, saya dapati lokasi rumah perlindungan ini tidak dinyatakan di Facebook. Memang disengajakan agar tidak disalahguna oleh pihak-pihak tertentu. Saya pun menghantar pesanan whatsapp kepada Mak Liza, minta izin dapatkan alamat dan berkunjung ke sana dengan tujuan untuk memberi sedikit sumbangan. Beliau membalas whatsapp saya dengan memberi lokasi serta masa yang sesuai untuk datang. Saya dan isteri telah berkunjung pada masa yang dicadangkan. Dapatlah kami berjumpa Mak Liza dan berbual-bual sedikit tentang latar belakang rumah beliau itu. Sejak kunjungan tersebut, saya terus berusaha untuk menyampaikan bantuan sekadar yang termampu.
Pada bulan September tahun lepas, saya mendapat tahu dari Mak Liza yang jiran sebelah rumah beliau berhasrat untuk menjual rumahnya. Harga jualan rumah teres 3-tingkat itu ialah RM500,000. Mak Liza memang bersungguh sangat untuk membeli rumah jiran itu dengan tujuan untuk menambah ruang asrama untuk pelatih. Semakin hari semakin ramai permintaan untuk remaja datang daftar masuk dan ruang sediada sentiasa penuh. Beliau tidak sampai hati untuk menolak permintaan pelatih baru. Orang datang minta tolong, jangan ditolak kalau boleh. Cuma harga jualan itu agak mencabar. Mana nak cari duit sebanyak itu? Lagipun beliau tidak berniat untuk berhutang dengan bank.
Dengan hati yang cekal, beliau bertekad untuk membeli rumah tersebut dengan membayar sedikit `down payment'. Selebihnya beliau akan usaha untuk dapatkan sumbangan dermawan dari kalangan orang awam dan follower page FB Baitus Solehah. Penjual pun bermurah hati untuk beri Mak Liza tempoh bayaran secara berperingkat.
Saya berbincang dengan Mak Liza tentang cara hendak buat rayuan derma untuk pembelian asrama tambahan itu. Antara lain, saya bantu beliau buat poster rayuan derma yang boleh disiarkan di Facebook serta mudah dikongsi dengan kenalan lain melalui whatsapp. Setelah poster itu dilancarkan, Mak Liza memberi makluman berkala tentang ansuran bayaran yang telah dibuat kepada peguam yang mewakili penjual.
Pada pagi 30 Disember 2020 (tarikh akhir kempen kutipan derma asrama tambahan), Mak Liza umumkan bahawa masih berbaki sebanyak RM25,000 yang belum ditunaikan. Beliau membuat rayuan terakhir agar followers dapat menderma untuk mencukupkan baki tersebut. Syukur alhamdulillah, rayuan beliau dapat sambutan yang sangat baik. Sekitar jam 12 tengahari, dana asrama tambahan telah ditutup kerana berjaya mencapai target. Apa-apa sumbangan yang lebih akan digunakan untuk menampung kos operasi. Terima kasih tidak terhingga kepada para dermawan yang percaya akan usaha baik Mak Liza dan keluarganya. Maha Suci Allah swt yang mendengar rayuan hambanya yang perlukan bantuan.
Kira-kira jam 2 petang, saya terima pesanan whatsapp dari Mak Liza yang memaklumkan bahawa Allah swt telah menyempurnakan hajat kita, walaupun pada mulanya nilai RM500,000 nampak semacam terlalu jauh untuk dicapai. Beliau turut ucapkan terima kasih kepada saya atas bantuan yang telah saya hulurkan. Allahu akbar... apa yang saya buat tersangatlah kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan Mak Liza sendiri. InsyaAllah akan terus saya bantu di mana yang terdaya.
Pada hari esoknya 31 Disember 2020, Mak Liza telah membuat bayaran ansuran terakhir baki RM25k kepada pihak peguam. Maka pada penguhujung tahun 2020 yang penuh dengan cabaran dari berbagai sudut, Baitus Solehah telah berjaya memperolehi bangunan asrama tambahan sebagaimana yang dicitakan.
Semuga tahun baru Masehi 2021 terus membawa perkhabaran baik untuk Baitus Solehah dan pasukan pengurusannya.
Opah cucu seribu... selamatkan dua jiwa.
|
Dana asrama ditutup tetapi sumbangan masih diterima utk perbelanjaan operasi |
Facebook : Baitus Solehah